The biggest collection of MySpace 2.0 Layouts online
MySpaceLayouts

Sunday, March 3, 2013

..Menangis Teresak-esak..

Assalamualaikum :)


"Janganlah kamu berasa lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya kamu adalah orang yang tertinggi sekiranya kamu beriman."

Surah Ali Imran ; 139

Lapang dada ini. Tenang jiwa ini. Text message itu aku terima daripada seorang sahabat. Tidak ku minta. Tetapi sungguh Allah Maha Mengetahui. Saat aku benar benar terasa lemah. Saat aku benar benar terasa ingin berputus asa, Allah hadirkan seseorang untuk menenangkan jiwa. Itu pun, masih melalui ayat ayat cintaNya. Di mana hak aku sekiranya aku masih mahu mempertikaikan kasih sayangNya?

Moga Allah redha dengan beliau. Moga beliau menjadi sahabat yang tidak akan jemu menarik aku saat sukarku.

Tidak dinafikan, dalam hidup ini banyak pancarobanya. Banyak halangannya. Lagi lagi kita. Ya. Kita. Kita umat akhir zaman. Umat bongsu. Umat terakhir di dunia. Tapi masih, Allah mengangkat darjat kita sebagai sebaik baik ummat berbanding ummat ummat sebelum ini. Kerana apa? Kerana sungguh, Allah sangat mencintai Rasulullah. Nabi kita. Junjungan kita. Role model kita. Tidak beruntungkah kita menjadi umat baginda?

Sekali tersungkur, aduhai, susahnya Ya Rabbi untuk kembali segar seperti dahulu. Susahnya yang amat untuk tegur berdiri seperti dahulu. Susahnya untuk kembali gah dengan nama Islam yang syumul. Kerana apa? Kerana gagalnya diri ini mentarbiyah saat sendiri. Gagalnya diri ini menjalankan tarbiyah kendiri.

Hati ini sedar. Teramat sedar betapa jauhnya diri ini daripada Allah Taala. Betapa sudah hanyutnya diri ini dibawa arus jahiliyah moden. Betapa tunduknya diri ini dengan taghut taghut akhir zaman. Betapa kalahnya diri ini dengan berhala berhala era baru. Tapi masih, lemah yang dirasa ini sangat sukar untuk diterjemah. Entah kenapa iman ini tidak mahu bangkit semula. Entah kenapa diri ini terasa malas untuk tunduk kepadaNya.

Sakit mata. Mengalirlah air mata. Jangan ditahan tahan lagi. Aku sudah tidak mampu untuk berpura pura bahagia dalam keadaan aku terasa Allah murka denganku.

Pandai cakap. Tak reti nak buat. Tak tahu ke berapa banyak amaran keras yang Allah lontarkan dalam Quran untuk mereka yang cakap tak serupa bikin?

"Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri? Padahal kamu membaca kitab (Taurat) ? Tidakkah kamu mengerti?"

Surah al-Baqarah ; 44

Ini adalah apa yang Allah tempelak kepada kaum bani Israel. Ya. Mungkin Allah tidak tuju terus kepada kita. Tapi takkan tak terasa kot?

Allahu.

Sakitnya iman. Menderitanya jiwa.

Kita mengaku Allah itu tuhan kita. Kita ucap kalimah syahadah hari hari dalam solat kita. Tapi kenapa masih tegar kita melanggar perintahNya? Masih culas melaksanakan suruhanNya? Di mana letaknya iman kita?

Kita kata Rasulullah itu adalah Rasul kita. Kita berbangga mengatakan Nabi Muhammad itu role model kita. Kita cakap kita beriman dengan risalah yang dibawanya. Tapi mengapa masih ada pertikaian dalam sunnah nya? Kenapa kita masih lagi mahu mempertikaikan kewibawaanya? Kenapa kita tak nak ikut apa yang disuruhnya? Kenapa kita melakukan perkara yang dibencinya? Kenapa?

Tidak mahukah kita kembali kepada Allah dengan sebenar benar pengembalian? Tidak dambakah kita akan syurga Allah sebagai tempat sebaik baik pengakhiran? Tidak takutkah kita akan murka Allah dan azab nerakaNya? Kenapa kita masih degil tidak mahu bertaubat kepadaNya? Kenapa?

Dan hari ini, aku mengajak diriku terutamanya. Dan anda anda yang mungkin sedang membaca dengan tekun. Mungkin juga tidak ada yang tersentuh jiwanya. Mungkin ada yang baca skip skip. I dont care. Hari ini aku menyeru untuk kita sama sama kembali kepada fitrah. Tidak sedarkah kita, hidup kita hanya harapkan Allah? Tidak sedarkah kita, kita sangat memerlukan Allah? Kenapa kita masih mahu membutakan hati kita? Kenapa?


Menangislah. Merataplah. Tapi hanya pada Dia. Dia yang Maha Mendengar. Dia yang sentiasa ada. Dia yang tidak pernah tinggalkan kita. Luahkan segalanya. Bukan Allah tidak tahu, cuma kita yang tidak mahu. Kita tidak mahu meluahkan segala galanya kepada Allah. Bukankah Dia pencipta kita? Untuk apa kita berpaling dariNya? 

Kita siapa?


Ini apa yang Allah dah janji. Tidakkah kita yakin akan janjiNya?

Ayuh kita taubat. Sebelum terlambat. Mulakan dengan istighfar. Mulakan dengan hati yang lapang. Mulakan dengan tangisan. Jika mata ini degil tidak mahu mengalirkan air mata taubat, maka pura puralah menangis. Bukan kita menipu Allah. Allah Maha Mengetahui. Tidak mungkin Dia akan tertipu. Tapi itu salah satu usaha kita untuk menghayati taubat kita. Siapa tahu, dengan usaha yang sedikit itu kita akan dilembutkan hati? Tidak mahukah kita?


Menangislah teresak esak. Kerana tangisan kita berharga dalam menyelamatkan diri dari api neraka.

Jangan putus asa. Allah tidak pernah tinggalkan kita...